Saya ada sebuah kisah yang mahu dikongsikan dengan semua.
Mari baca, semoga timbul insaf dalam diri ini.
Pernah, saya menyertai satu operasi di Muar, dan kami
bertolak dari Johor Bahru kira-kira jam 10 malam dan operasi selesai jam 6
pagi. Kami terus pulang ke Johor Bahru. Sepanjang perjalanan, saya yang memandu
sendiri berhenti hampir tujuh kali kerana terlalu mengantuk.
Pulang ke Johor Bahru, biar bantal memanggil, terpaksa
diketepikan. Perlu disiapkan berita yang operasi itu untuk siaran berita tengahari.
Bukan mudah. Selesai segalanya, jam sudah hampir 11 pagi. Jam dua pula ada satu
lagi tugasan. Begitulah kehidupan. Kais pagi makan petang, jika tak dikais,
memang tak makanlah.
Saya lebih cenderung kepada kisah human interest seperti
satu operasi yang saya ikuti bersama sahabat sahabat baik di Cawangan Trafik
Johor Bahru Selatan yang bersengkang mata tanpa mengira masa membanteras
kegiatan lumba haram.
Antaranya termasuk kisah seorang budak lelaki berusia 13
tahun yang pada mulanya begitu yakin memberi jawapan kepada pegawai serta
anggota polis trafik, dia dibenarkan menunggang motosikal oleh bapanya, yang
juga pemilik kenderaan itu.
Sebagaimana lazim, pegawai polis bertugas menghubungi
ibubapa pelajar itu dan selepas menanti hampir dua jam, akhirnya muncul
ibubapanya di tepi jalan Danga Bay.
Dari jauh, tampak si ibu bagai meluru tak sabar sabar
untuk tiba ke tempat anak lelakinya berdiri.Si ayah pula berjalan lesu. Waktu
tika itu hampir jam empat pagi.
Sebaik tiba di depan anaknya, tanpa lengah si ibu bagai
melepas geram terus mencubit dan menampar badan anaknya. Kami terpinga pinga
melihatkan situasi itu lantas beberapa anggota polis trafik meredakan keadaan.
Terkedu anaknya yang dua jam lalu, beriya-iya mendakwa
ibubapanya sudah memberi keizinan untuk dia menunggang motosikal milik bapanya
dan turut dibonceng rakan sekampung berusia 16 tahun.
Ketika cuba ditahan, dia melarikan diri dari sekatan
jalanraya dan turut menendang motosikal anggota penguatkuasa yang mengejar
mereka!
"Masuk lokap jek encik. Masuk sekolah jahat Henry
Gurney. Tak apa, saya rela," tercetus akhirnya luahan hati si ibu sebaik
diredakan.
"Aku tak boleh kawal kau lagi. Kat sekolah kau anak
murid aku, kat luar aku tak boleh kawal kau seorang. Selama ini kau cakap tak
goyang, tak goyang, tengok semua polis ni, tengok.
"Kalau dahi ni tak sujud pada sejadah, inilah
jadinya," berterusan si ibu melepaskan geram bagai sebuah drama realiti di
depan hampir 50 pegawai dan anggota polis serta anggota Rela yang turut
bersama-sama dalam operasi itu.
Suasana menjadi sunyi dan hanya kedengaran suara si ibu.
Semua memerhati. Semua bagai menyokong tindakan si ibu. Mat mat rempit lain
yang ditahan sebelum ini sibuk berbual sesama sendiri turut kaku melihat adegan
itu. Mungkin timbul keinsafan dalam diri mereka?
"Dia cakap, ibu keluar, saya cakap malam minggu
jangan keluar. jangan, jangan. Tak tengok kat TV (orang kena tangkap),"
luah si ibu dan suaranya beriring nada kekesalan.
"Bila kita marah, dia cakap nak rompak rumah orang.
Tak kurang ajar punya anak? Sampai hati kau jadi anak macam ni. Budak sekolah
pukul 10 duduk rumah," kata si ibu lagi dan kali ini nada sudah berselang
kesedihan.
Tatkala itu, sudah mula mengalir airmata si ibu. Si anak
hanya tunduk kaku, tak seperti tika selepas ditahan dua jam sebelum itu, ceria,
beriya iya.
Si ayah tak mampu nak berkata kata. Mungkin sudah puas
dileteri anaknya itu. Mungkin sudah kering airmata si ayah memikirkan kedegilan
anaknya tika dia keluar mencari rezeki buat kesemua anaknya.
Bagi meredakan keadaan, seorang pegawai polis, Inspektor
(kini ASP) Mohd Lail Ab Halim mencelah.
"Kami akan charge (tuduh) dia lari dari sekatan
jalan," kata Mohd Lail tegas.
Mungkin mendengar penjelasan ringkas Mohd Lail itu,
tercetus luahan si ibu lagi.
"Kat rumah berapa kali dia nak tumbuk saya. Sekarang
ni apa? Aku ni mak kau. Hari-hari aku doa, Ya Allah jadikanlah anak aku
golongan yang baik-baik. Tapi kau apa? Ibu mampus, ibu mampus."
Ketika ini, si ibu mencucuk cucuk perut si anak. Hilang
segala kehebatan si anak. Akhirnya ibubapa juga yang datang. Biar marah,
kesemua yang menyaksikan bagai mengerti, dia tetap anaknya. Dia tetap darah
dagingnya. Mungkin sudah kemuncak kemarahan si ibu.
"Nanti puan datang ke balai trafik untuk jamin anak
makcik," jelas Mohd Lail lagi.
Sambil menjeling marah ke arah anaknya, si ibu dengan
cepat menjawab: "Jamin kau? No, no. Ibu tak akan jamin kau, tak ada tak
ada," katanya bagai puas, biar malam itu menjadi pengajaran buat si anak
yang degil itu.
Si ibu berlalu pergi.
Lantas, Mohd Lail mengarahkan anak buahnya untuk membawa
pelajar itu ke balai. Tak sempat dibawa, pelajar itu meraung raung menangis
mengejar ibunya.
Sekali lagi kami kaget. Si ibu tak memperdulikan. Kami
yang melihat bagai menyokong tindakan si ibu. Biarkan dia rasa. Biar dia serik.
Biarkan. Itulah kata hati kami. Kami pun marah. Apatah lagi mendengar luahan
hati si ibu di pagi yang bening itu.
Berterusan suara si anak merintih pada ibunya. Semakin
jelas suaranya. Si ibu berhenti. Dibiarkan anaknya menangis, meraung di
depannya. Direnungnya anaknya itu.
Siapa tak sayang anak. Tentu wanita itu ibu yang baik.
Apatah lagi sebagai seorang guru, sifat penyayang tinggi dalam diri mereka.
Tampak wajah amarah si ibu sudah bertukar menjadi simpati dan penuh kasih sayang,
tatkala si anak menarik narik tangan yang sama mengendong dia ketika kecil,
memimpinnya ketika melintas jalan, menepuk nepuk tika mahu tidur.
Akhirnya si ibu mengalah. Dipimpin tangan anaknya ke
kenderaan polis. Berdiri kaku si ibu melihat si anaknya di bawa pergi.
Selepas segala proses selesai, saya terserempak dengan si
ibu berjalan keluar dari balai beriring dengan bapa pelajar itu. Dan di
sebelahnya, anaknya tadi, tangan dipimpin erat, kuat kuat bagai tak mahu
melepaskan anaknya itu.
Saya sempat bertegur. Menasihat si anak, jika tak kesian
pada diri sendiri, kesianlah pada mak ayah. Kesian mereka berhempas pulas
membesarkan awak. Esok awak dah kahwin, awak nak anak awak macam awak?
Tertunduk diam si pelajar itu. Saya tepuk bahunya
beberapa kali dan sempat berkata padanya, awak mesti anak yang baik sebab tu
awak menangis minta maaf pada mak tadi. Dan sempat saya mengucapkan terima
kasih kepada si ibu dan ayah kerana tak putus asa dengan kasih sayang pada si
anak yang degil ini. Tersenyum si ayah. Bagai mereda hati si ibu.
Itulah antara kisah kisah kecil yang mahu saya jadikan
iktibar untuk kita semua. Kongsilah dengan sesiapa, pada anak anak, pada anak
saudara atau mungkin pada diri sendiri. Jahat mana sekalipun, ibu ayah tetap
bersengkang mata buat anak-anak. Biar sakit lutut, biar membuai diri dek tak
lena tidur, demi anak!
Itu hanya sekelumit. Saya memang mahu berkongsi segala
kisah di sini tetapi kadangkala masa tak mengizinkan. Yelah kais pagi makan
petang. Kalau tak dikais, mahu tak makan petang nanti kan.
No comments:
Post a Comment