Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke
telinga saya Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya
tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di
sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas
mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal
menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula,
Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
"Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami.
Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni,"
kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai. Sebelum itu
mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk
membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah
ustaz, doktor pun tak tau."
Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit
kesakitan.
Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya.
Jeritannya menakutkan
dan menyedihkan.
"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit
mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta raungan
yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di
dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab
yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami.
Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal
jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan
antara penyakitnya itu dengan ibunya? "Panggil ibunya segera," kata
saya. Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam,
menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
"Kenapa ni?" tanya saya. Dengan perlahan abang
Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu
lepas." "Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada
melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang
begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat
membantu," kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin
kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu
insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan
Jalal."Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."
"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami,"
jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal
menceritakan kepada
saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat
hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak
bongsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan
mereka, Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun,
sejak kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa
sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya.
Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta
tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya. Walaupun
berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak
dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah
syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak
disyarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi
semakin parah.
Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan
menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan. Dalam
kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas
sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula
kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut,
Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank.
Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia
tiga tahun sebelum itu.
"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi
RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya kasar. "Jalal,
engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si ibu.
"Ahhh, saya tak kira." "Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau,
duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang,"
jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak
membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati
kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan
apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang
adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan.
Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya
sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka
terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan
diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat
melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal
dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam
hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke
hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor
gagal mengesan penyakit yang dihadapinya.
Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan
menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah
ibunya kerana tidak sanggup menanggung
azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya
dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat
Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain,"
kata saya. Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin
untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan.
Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan. "Aduh panasnya! Emak,
ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya
ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya
bersalah."
Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang
dimaksudkannya dengan 'ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa 'ke situ' dan
apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa
dibogelkan.Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi
keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan
saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini,
insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak..." Ketika itu lebih
kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu,
telefon bimbit saya berdering. "Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah
nazak," kata si abang. Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya,
saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan.
Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya
bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna.
Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika.
Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang
kelegaan di wajah mereka.
Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh
jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata
terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga
najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis menusuk
hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat
menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan
segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak.
Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut
keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku
dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan
katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya. Selepas 'rentapan' itu,
Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap
Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak
derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara
keluarga Allahyarham
menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan
terpaksa keluar
kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka.
Demikianlah sakaratulmaut
datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam
al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa
Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah
berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat
kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup
memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir,
namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat.
Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara
giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja
menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata
Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji
matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja
yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya
dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban
kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan
membonjol di celah kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan
apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa
turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di
salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung.
Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham
keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya
patah secara serentak.
Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya
sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu,
boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci
Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu
kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang.
Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul - tidak ada van atau kereta yang
berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong
yang mengangkat tanah, pasir ataupun
kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang
ke rumahnya.
Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat
berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak
ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya
dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya. Namun
diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak
mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa
diambil dan ditambur ke atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon
daripada keluarga Allahyarham. "Ustaz, saya nak minta pertolongan dan
pandangan daripada ustaz." "Apa masalahnya itu?" tanya saya.
"Kubur adik saya berlubang ustaz."
Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan
kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan
lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut
bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup
liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah,
namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.
"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau
papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata
saya. Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya
memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya,
tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut
walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok
yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di
kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang
Allahyarham.
"Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam
ini buatlah majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca
Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan
doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu
dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."
No comments:
Post a Comment