Mendengar berita rakan baik selamat melahirkan bayi
sulung, timbul perasaan seronok dan tidak sabar-sabar mahu menziarahinya.
Apakan tidak, tempoh lima tahun untuk menunggu cahaya mata dirasakan terlalu
lama.
Selepas bersabar dan berikhtiar, rakan penulis yang hanya
mahu dikenali sebagai Lina disahkan hamil. Pun begitu, dia seakan-akan tidak
gembira dengan kelahiran permata sulungnya.
Paling menyedihkan, Lina benci dan tidak mahu me-
nyusukan anaknya atas alasan bayi itu bukan zuriatnya. Risau dengan keadaan
itu, suami dan keluarganya membawa Lina berjumpa doktor.
Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, Lina dikesan menghidap
gejala kemurungan selepas bersalin atau dalam bahasa biasa disebut meroyan,
manakala dalam istilah perubatan pula disebut sebagai postpartum psychosis.
Meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius.
Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau
selepas berpantang.
Pada tahap ini, wanita yang mengalaminya berkemungkinan
melakukan perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di
sekelilingnya.
Meskipun ia sinonim dengan masyarakat Melayu, hakikatnya
semua bangsa turut mengalami masalah sama, tidak kira wanita biasa mahupun
golongan profesional.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Columbia Asia
Setapak, Dr Suhaimi Hassan berkata, meroyan ialah istilah umum orang Melayu
terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin.
“Kemurungan selepas bersalin biasa berlaku dalam kalangan
sesetengah wanita tanpa mengira bangsa. Hingga kini penyebab sebenar masalah
ini masih tidak diketahui.
“Ia mungkin disebabkan perubahan hormon yang berlaku
terhadap tubuh badan si ibu selepas melahirkan anaknya.
“Selain itu, ada juga faktor sampingan seperti tidak
mendapat sokongan daripada suami atau tidak mempunyai keluarga yang tinggal
berdekatan.
“Faktor lain ialah menghadapi masalah kewangan, kesukaran
menyusu badan, mempunyai sejarah sakit mental, pernah mengalami keguguran dan
menghadapi masalah sewaktu melahirkan,” katanya.
Seorang daripada 10 wanita mungkin menghidapnya. Ia
berbeza dengan masalah ‘baby blues’ iaitu perubahan emosi yang normal dan tidak
serius yang biasa terjadi selepas bersalin (sejak hari ketiga hingga minggu
kedua selepas bersalin) apabila ibu akan bermuram, sering menangis, letih dan
rasa tertekan.
Ini disebabkan perubahan hormon secara mendadak dalam
badan. Dengan bantuan yang sesuai, si ibu akan berasa lebih sihat dalam
beberapa hari.
Bagaimanapun, masalah meroyan tidak seperti baby blues
kerana ia tidak akan sembuh jika tidak mendapat rawatan sewajarnya.
Katanya, setiap wanita yang mengalami simptom ini akan
menunjukkan tanda berbeza tetapi kebanyakan mereka akan menunjukkan perasaan
putus asa, rasa bersalah, letih, muram, sering menangis, gelisah dan ada kala
cepat marah.
“Semua ibu berasakan satu atau lebih daripada tanda tadi
pada masa tertentu. Lazimnya, meroyan berlaku apabila umur bayi berusia empat
hingga enam minggu tetapi ada kala ia bermula beberapa bulan selepas
dilahirkan,” katanya.
Meroyan boleh sembuh sepenuhnya dengan mendapatkan
rawatan tertentu. Perbincangan serta sokongan suami, rakan dan saudara terdekat
boleh membantu selain nasihat doktor.
Jika ada kaunselor dan ahli psikologi terapi, mungkin
lebih baik. Perkhidmatan terapi kognitif ini akan mengajar ibu mengenai
strategi harian bagi mengatasi masalah ini.
Jika meroyan jenis yang teruk, si ibu boleh dirujuk
kepada ahli psikologi atau psikiatri untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.
Tambahnya, ada ubat anti depresi yang boleh meningkatkan
jumlah hormon serotonin bagi meringankan perasaan, memudahkan tidur dan
mengurangkan rasa marah.
“Antara lima hingga tujuh dalam setiap 10 ibu yang
mengambil ubat anti depresi mendapati, simptom meroyan atau kemurungan mereka
reda dalam beberapa minggu selepas memulakan rawatan.
“Selalunya rawatan ini hanya akan berkesan selepas
seminggu mengambilnya. Anti depresi yang selalu diberi adalah prozac atau
seroxat.
“Ubat ini juga boleh memberi kesan kepada susu ibu dengan
jumlah yang sedikit dan jika anak mengantuk, si ibu harus segera berjumpa
doktor.
“Ramai ibu yang mengambil anti depresi juga menyusu badan
sebab ia menambah keyakinan diri dan mengeratkan hubungan di antara bayi dan
ibu, yang secara tidak langsung membantu mengatasi meroyan,” katanya.
No comments:
Post a Comment