Penyesalan seorang isteri : Tidak melayan suami
“SAYA mahu berkongsi peristiwa yang masih mencengkam
hidup walaupun ia sudah lama berlaku. Memang sukar untuk saya maafkan diri ini
dan rasa bersalah sentiasa bermain difikiran apabila mengingatkan saat-saat
itu. Saya dan suami adalah pasangan yang romantis malah menjadi perbualan
rakan-rakan di pejabat. Walaupun sibuk dengan tugas harian, tanggungjawab melayan
suami dan menguruskan anak-anak, saya lakukan dengan sempurna.
Suami memahami tannggungjawab di rumah dan sentiasa
membantu menguruskan rumah tangga. Kami sering mengerjakan solat berjemaah dan
saya gembira melihat hubungan dalamkeluarga saya.
Walaupun sesibuk mana tugas di pejabat, tanggungjawab
melayan suami dan anak-anak tidak pernah diabaikan. Saya bersyukur suami
memahami saya dan sentiasa bertolak ansur. Ini menjadikan saya semakin sayang
kepadanya.
Memang dalam kehidupan, kita tak dapat melawan takdir dan
ketentuan Ilahi. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, Allah jua yang
menentukan.
Hari itu, Isnin. Saya masih ingat, saya ke pejabat awal
pagi kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan selain temu janji dengan
beberapa pelanggan yang perlu dibereskan.
Hari itu, saya pulang lewat ke rumah, biasanya jam 6
petang, saya sudah ada di rumah. Ketika saya sampai ke rumah, azan dari masjid
berhampiran berkumandang. Saya lihat suami sudah bersiap-siap untuk pergi
menunaikan solat Magrib. Begitu juga anak-anak saya sudah mandi dan riang
bersama bapa mereka. saya lihat suami saya amat gembira petang itu.
Saya begitu terhibur melihat telatah mereka kerana
suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing
penat. Suami sedar saya amat penat hari itu. Oleh itu, dia meminta agar saya
tidak memasak, sebaliknya mencadangkan makan di luar. Saya dengan senang hati
bersetuju.
Selepas menunaikan solat Magrib, kami keluar ke sebuah
restoren kira-kira lima kilometer dari rumah. Di restoren, kami sekeluarga
berbual panjang, bergurau senda dan usik-mengusik, memang seronok bersama.
Macam-macam yang dibualkan malah saya lihat suami begitu ceria melayan tiga
anak kami yang berusia tujuh hingga 12 tahun.
Saya dapat rasakan kemesraan suami luar biasa, cara dia
melayan dan ketawa memang bukan seperti hari biasa. Dalam hati terpancar rasa
bangga kerana mampu membahagiakan suami tersayang. Saya melihat jam tangan.
“Sudah jam 12.30 tengah malam, bang. Dah lewat ni, ayuh
kita pulang,” kata saya.
Suami tanpa banyak soal memanggil pelayan dan membayar
bil makanan dan minuman. Kami tiba di rumah jan 12.50 tengah malam. Anak-anak
yang keletihan terus masuk tidur.
Saya memang terlalu mengantuk apatah lagi selepas
menikmati hidangan lazat di restoren. Mata pun seperti berat dibuka lagi.
Ketika saya hampir melelapkan mata, suami membelai lembut rambut dan mencium
pipi saya. Saya membuka mata dan hanya tersenyum.
Dalam hati, saya memang mahu melayan kehendak suami
tetapi hati saya berkata, esoklah, mata terlalu mengantuk, esok masih ada. Saya
memberitahu suami terlalu mengantuk dan tidak boleh melayan kehendaknya. Saya
mencium suami dan mahu melelapkan mata.
Bagaimanapun, saya pelik kerana suami masih merangkul
tubuh saya, seolah-olah terlalu berat untuk melepaskan. Saya membuka mata dan
melihat wajah suami yang berseri-seri. Hairan saya kerana suami belum
mengantuk, sedangkan dia juga keletihan.
Dia menarik saya lebih dekat dan membisikkan di telinga
bahawa itu permintaan terakhirnya. Namun, dek terlalu letih dan tidak
memikirkan perkara itu terlalu penting ketika itu, saya seolah-olah terus
melelapkan mata tanpa sepatah bicara. Perlahan-lahan, suami melepaskan tangan
yang merangkul saya.
Esoknya, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada
pekara yang tidak kena.Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab. Sehinggalah
saya dapat panggilan yang tidak dijangka daripada pihak polis yang mengatakan
suami saya terbabit dalam kemalangan dan meminta saya datang segera ke
hospital.
Hati saya seperti mahu meletup ketika itu. Saya bergegas
ke hospital tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami
dan saya tidak sempat betemunya. Meskipun reda dengan pemergian suami tetapi
perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis daripada hati saya kerana
tidak melayaninya pada malam terakhir hidupnya di dunia ini.
Hakikatnya itulah pahala terakhir saya sebagai seorang
isteri. dan yang lebih saya takuti jika suami tidak reda terhadap saya pada
malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.
Teringat Sabda Rasulullah s.a.w. yang saya baca dalam
buku agama, ‘Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang
mengajak isteri tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba ditolak isterinya,
maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu hingga dimaafkan
suaminya’.
Sehingga kini, setiap kali saya
terkenangkan suami, air mata akan mengalir ke pipi. saya sentiasa memohon
keampunan daripada Allah supaya diampunkan kesalahan saya.”
No comments:
Post a Comment