Kosmo! Kes isteri curang

KISAH isteri curang atau suami menangkap isteri berkhalwat dengan lelaki lain semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.
Kes terbaru berlaku di Kuantan, Pahang, 5 Julai lalu. Seorang suami, dikenali sebagai Muhammad yang mengesyaki isterinya bermain kayu tiga bertindak memasang perangkap dengan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Menurut Muhammad, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu sibuk dengan perniagaan butiknya.
“Namun, saya sendiri yang menangkapnya ketika dia berdua-duaan dengan seorang lelaki lain di sebuah bilik sewa yang terletak di atas sebuah restoran,” cerita beliau.
Bagi Halim (bukan nama sebenar) pula, dia tidak menyangka isterinya Halimah (nama samaran) yang berperwatakan baik sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.
“Sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikit pun saya meragui kesetiaannya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka,” katanya dalam ruangan forum Internet.
Halim memberitahu, ketika dia bersusah payah membangunkan perniagaan, Halimah merupakan menjadi sumber inspirasinya.
Isterinya juga melayannya dengan penuh kasih sayang dan rumah tangga mereka bertambah bahagia selepas dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.
Namun, ada juga rakan memberitahu Halim mereka pernah melihat Halimah bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan tetapi tidak diendahkan Halim.
Pada suatu hari, kereta yang dipandu Halim rosak dan beliau terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil sebuah lagi keretanya.
Di rumah, Halim terkejut besar melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang. Dengan segala kudrat, Halim mengejar lelaki itu dan berjaya menangkapnya.
Meningkat
Tetapi apa yang menyedihkan, Halim mendapati isterinya berada dalam keadaan kusut dan memakai baju tidur tanpa coli di ruang tamu. Mereka berdua akhirnya bercerai.
Menurut seorang peguam syarie, Musa Awang, kes perceraian akibat isteri curang seperti yang dilalui Muhammad dan Halim itu meningkat 20 peratus setiap tahun.
“Perkara ini cukup serius terutama bagi pasangan suami isteri yang menetap di bandar besar. Saya berpendapat antara puncanya ialah isteri banyak menghabiskan masa di tempat kerja.
“Mereka kurang bersama suami dan jika ada masalah rumah tangga, mereka akan berkongsi dengan orang ketiga yang suka mengambil kesempatan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun mengendalikan kes cerai di mahkamah syariah.
Beliau berpendapat, perkara-perkara itu boleh menyebabkan hubungan suami dan isteri renggang, bergaduh dan akhirnya memilih cerai sebagai jalan untuk keluar daripada konflik rumah tangga.
Musa tidak menyalahkan isteri seratus peratus. Suami juga, katanya, mungkin menjadi punca isteri curang, misalnya suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin.
“Selain itu, suami sendiri mungkin curang terlebih dahulu hingga menyebabkan isteri beralih cinta kepada orang lain. Begitu juga jika suami berpoligami tanpa kebenaran, berperwatakan kasar dan suka memukul isteri,” terang beliau.
Musa memberitahu, dalam keadaan itu, perceraian dianggap penyelesaian terbaik.
Bagi Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM), Linda Jamaluddin, masalah bermula apabila si isteri mengadu kepada orang lain yang tidak berkaitan.
Katanya, wanita lebih terdorong untuk berjumpa teman sepejabat atau jiran-jiran untuk meluahkan perasaan.
Cinta sepejabat
“Daripada situlah timbul perasaan kasihan lebih-lebih lagi kawan lelaki hingga membibitkan cinta terlarang,” katanya.
Linda berpendapat kecurangan berlaku disebabkan masalah komunikasi dalam rumah tangga. Suami tidak memahami isteri dan begitulah sebaliknya. Faktor lain ialah suami tidak mahu berkongsi kerja dan tugas menguruskan rumah tangga.
“Kesilapan paling utama adalah apabila suami atau isteri berkongsi masalah rumah tangga dengan orang lain hingga menimbulkan masalah lain khususnya curang,” hujah beliau.
Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, kecurangan merupakan salah satu punca perceraian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka yang tepat berhubung kes cerai yang melibatkan isteri curang.
“Kes cerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah sebanyak 15 hingga 18 peratus berbanding jumlah perkahwinan yang didaftarkan setiap tahun,” katanya.
Che Mat memberitahu, faktor kewangan suami yang tidak stabil selain cabaran kehidupan di bandar besar juga boleh mengakibatkan isteri curang.
“Dahulu, rata-rata isteri menjadi suri rumah tetapi kini kebanyakan mereka bekerja. Pergaulan di pejabat juga menjadi sebab isteri bermain kayu tiga selain waktu yang singkat bersama suami sendiri.
“Lagipun tempoh perkahwinan selama satu hingga lima tahun merupakan tempoh yang kritikal dan pasangan suami isteri yang dapat menghadapinya dengan baik mungkin perkahwinan mereka akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Pakar psikologi, Dr. Suradi Salim pula berpandangan manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
“Manusia bukan malaikat. Seperti curang seorang lelaki, wanita juga boleh melakukannya,” katanya. Namun, menurut Suradi lelaki lebih cenderung bersikap curang kerana sikap ego mereka.
“Wanita dikenali dengan kesetiaan tetapi lebih berbahaya kerana mereka bijak menyimpan kecurangan mereka,” terang beliau.

1 comment:

Please Visit