Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda
daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi
keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah – ayah memanggil kami
berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar
melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata
ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah
sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah
tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!” Belum sempat adik menarik nafas
selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti
menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan
sakit,setitis pun airmata adik tak tumpah.
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah
merungut: “Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi
perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik.
Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik
cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang
mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan
sikap aku yang takut berkata benar.
Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya
lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela
adik.Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku
bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran
belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan
menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah
bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, “Zah, kedua-dua anak
kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”
“Tapi apalah maknanya bang…!” aku terdengar ibu
teresak-esak.
“Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?”
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di
depan ayah dan ibu.”Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain
pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.
Panggggg….sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti
biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
“Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana
persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”
“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat
membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik
tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
“Kakak perempuan…biarlah kakak yang berhenti.”
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada
dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada.
Diatas
pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas
yang tercatat…..
“Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya
cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung,
jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk
ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik
menerpa:
“Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”
“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik
berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. “Kenapa sebut
orang kampung, sebutlah adik yang datang!”
Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik
ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya.
Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas
bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak
peduli apa orang lain kata.”
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk
kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengokramai
gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan
dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu
konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut
saya balik.”
“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis
tangannya luka-luka.”
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami
berdakapan.
“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada
tangannya.
“Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak,
kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang
masa.
Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya
untuk bekerja keras.”
Apalagi…aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang
usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata
adik.
“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan
yang adik ada.”
“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.
“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba
menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani
setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung,
juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”
Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya….”katanya
lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami
berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya
hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada
saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya
berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”
“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan
lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya
sampai bila-bila.”
No comments:
Post a Comment